Jom Kenali anak hiperaktif dan ADHD
sometime ibu bapa selalu terlepas pandang atau sebenarnya parents pun tak pun ciri tersebut sbnarnya ADHD dan hiperaktif. ok amik masa dan reading....untuk tambah ilmu as parents.
Semoga ilmu ni dapat disampaikan dan bantu parents lain untuk bantu anak-anak yg sedang hadapi perkara ni.
“Rayyan, kenapa susah sangat nak duduk siapkan kerja sekolah ni? Baru buat 5 minit, dah lari entah ke mana. Takkanlah setiap 5 minit ibu nak kena beritahu. Cikgu kamu dah berkali-kali pesan dengan ibu sebab kamu tak siapkan kerja. Tengok tu, nak pergi mana pula tu?”
Umumnya seorang kanak-kanak memang bersifat aktif dan ada masanya mereka amat sukar menerima arahan, berkelakuan nakal, mudah hilang tumpuan, cuai, terburu-buru, atau tak boleh duduk diam. Namun, sekiranya gejala ini kelihatan melampau dan ia terlalu kerap berlaku, anak hiperaktif ini mungkin mengalami gangguan ADHD atau Attention Deficit and Hyperactivity Disorder.
APAKAH SEBENARNYA ADHD?
Menurut Dr Selvasingam menerusi artikelnya di Malaysian Medical Gazette, ADHD ialah antara gangguan kanak-kanak yang biasa ditemui dan boleh berterusan sehingga usia remaja dan dewasa. Gejala anak hiperaktif termasuk kesukaran memberi fokus dan perhatian, kesukaran mengawal perilaku dan bersikap terlebih aktif.
Kemunculan gejala boleh jadi pada sebarang umur sebelum 12 tahun. Untuk mengetahui sama ada kanak-kanak itu mengalami ADHD, mereka mesti mempunyai gejala selama sekurang-kurangnya enam bulan untuk melihat tahap kroniknya.
Perunding Psikiatrik Kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Subash Kumar Pillai pula menerangkan bahawa kanak-kanak ini sebenarnya tidak sakit. Tetapi, mereka hanya mengalami ketidakseimbangan sistem neuro di dalam otak menjadikan mereka sukar mengawal diri. Jelas beliau, penyakit ini juga bukan berpunca daripada pemakanan, pengambilan gula berlebihan, alahan atau terpengaruh dengan televisyen.
8 TANDA ANAK HIPERAKTIF ATAU ADHD
Terdapat 3 kelas utama bagi ciri ADHD, iaitutiada tumpuan, hiperaktif, dan impulsif.
Berikut adalah antara tanda ADHD boleh diperlihatkan oleh mereka yang mempunyai salah satu atau lebih daripada 3 ciri di atas:
1. CEPAT BOSAN
Mereka menjadi cepat bosan dengan satu-satu tugas hanya selepas beberapa minit.
Akibatnya, mereka kerap bertukar-tukar aktiviti sehingga mengalami masalah melengkapkan kerja sekolah.
2. SANGAT CUAI
Di samping itu, mereka sukar menguruskan diri dan bermasalah menyimpan barang masing-masing.
Anak hiperaktif cenderung kehilangan benda-benda yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu tugas.
3. SUKAR MENGIKUT ARAHAN
Kanak-kanak yang tiada tumpuan kelihatan seperti tidak mendengar apabila kita sedang bercakap dengan mereka.
Ada kalanya mereka nampak seperti berada di awang-awangan, mudah keliru, ‘terhegeh-hegeh’, dan lambat melaksanakan arahan yang walaupun mudah. Ini kerana, mereka mengalami kesukaran untuk memproses maklumat secepat dan setepat anak yang lain.
4. TAK BOLEH DUDUK DIAM
Anak yang mengalami ADHD kadangkala dilabel sebagai anak yang nakal kerana mereka berasa susah untuk melakukan aktiviti yang memerlukan seseorang untuk duduk diam, seperti semasa belajar atau makan.
Anak hiperaktif ini senang berasa gelisah apabila duduk di kerusi, tak henti-henti bercakap, menyentuh atau bermain apa saja sehingga mengganggu orang lain, terutamanya apabila di dalam kelas.
5. SUSAH FOKUS
Mereka yang mengalami ADHD seringkali tidak mampu menyelesaikan tugas mereka dan sesetengah mungkin menganggap mereka sebagai malas. Namun, mereka sebenarnya mereka mengalami kesukaran menumpukan perhatian, menyiapkan tugas atau mempelajari perkara baru.
Akibatnya, mereka mudah terlepas perincian, asyik lupa apa yang diarahkan, dan akhirnya tugasan mereka selalu tidak selesai. Kanak-kanak yang kurang tumpuan ini tidak semestinya mempunyai perlakuan anak hiperaktif. Sebaliknya, mereka mungkin jarang buat perangai, boleh duduk diam, namun tidak menumpukan kepada perbuatan orang lain di sekitar mereka.
6. TERBURU-BURU
Menurut sumber, sesetengah anak hiperaktif ini boleh menunjukkan perlakuan impulsif, di mana mereka sangat terburu-buru apabila ingin melakukan sesuatu.
Contohnya, mereka sukar menunggu giliran dalam permainan atau apa-apa yang diingini. Sekali pandang, kanak-kanak ini kelihatan sering menyampuk perbualan atau aktiviti lain kerana tidak sabar.
7. BERTINDAK MENGIKUT EMOSI
Akibat perlakuan impulsif, mereka juga menunjukkan emosi secara telus dan cenderung melakukan sesuatu tindakan tanpa memikirkan akibatnya sama sekali.
Maka, mereka mungkin mengejutkan anda dengan memberi komen yang tidak sopan dan tetap melakukan kesalahan sama berulangkali tanpa belajar daripada kesilapan tersebut.
8. SUSAH TIDUR MALAM
Sungguhpun masalah tidur merupakan masalah tersendiri pada seseorang anak kecil, namun beliau berpendapat ia mempunyai kaitan dengan ADHD. Tubuh mereka sering gelisah, berpusing sini dan sana kerana cuba mengaktifkan diri walaupun pada waktu tidur malam.
Ini menyebabkan mereka sering terjaga dan gelisah sehingga tidak mendapatkan tidur yang sepatutnya pada waktu malam, jelas Dr Vitiello menerusi Reader’s Digest.
JANGAN MALU DAPATKAN RAWATAN
Walaupun ADHD sukar dikesan dan tidak mudah didiagnosis kerana tiada simptom jelas yang boleh dilihat seperti penyakit-penyakit lain, namun ia boleh dirujuk kepada pakar kesihatan kanak-kanak untuk dinilai dengan terperinci.
Sebagai ibu bapa, janganlah berasa malu dan kecewa jika anak mereka didapati mengalami masalah ini. Penting membawa anak hiperaktif ini bertemu pakar supaya tingkahlaku mereka boleh dirawat dan tidak terbawa-bawa ke alam dewasa. Sungguhpun mencabar, mereka sebenarnya masih berpotensi menjalani hidup normal seperti individu lain.
Menurut Dr Subash lagi, jika tidak diberi rawatan lebih awal, 60% daripada individu ini akan membesar sebagai orang dewasa yang bermasalah sehingga mendorong mereka melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
sumber:
https://siraplimau.com/tanda-ciri-anak-hiperaktif-adhd/
Comments
Post a Comment